Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my
2010/05/03

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), syarikat jualan langsung milik penuh Bumiputera yang terkenal dengan produk jenama Radix, menyasar mewujudkan lebih 300 cawangan jualan di seluruh negara menjelang 2015.
Pada masa ini, HPA mempunyai 155 cawangan di seluruh negara dengan yang terbaru di The Mines Kuala Lumpur; Bukit Tinggi, Klang di Selangor dan Jalan Langgar, Alor Star, Kedah yang dibuka minggu lalu.

Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad, berkata syarikat itu kini menjalin kerjasama pintar dengan lebih 650,000 ahlinya bagi merealisasikan lebih 300 cawangan di seluruh negara sebelum 2015.

Menurutnya, semua cawangan terbaru yang dibuka HPA sejak tiga bulan lalu berkonsepkan pasar mini halal atau Halal Mart berbanding kaunter jualan sejak HPA ditubuhkan pada 1997.

“HPA juga membuka peluang kepada semua ahli untuk berkongsi dalam perniagaan peruncitan HPA Halal Mart dengan jumlah pembiayaan RM50,000 bagi satu premis.

“Kita yakin ahli HPA akan mengambil peluang ini seterusnya mencapai sasaran lebih 300 cawangan syarikat di seluruh negara menjelang 2015 atau lebih awal dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi Salleh (017-5248946) atau Adnan Fadzil (013-4895717),” katanya.

Mengenai sasaran jualan RM20 juta sebulan diumumkan HPA bagi Insentif Tahun 2010, Ismail berkata, ia dijangka dapat dicapai dalam tempoh terdekat sama ada Mei atau Jun ini.

“Jualan lebih 200 produk HPA kini cukup menggalakkan dengan produk utama seperti Kopi Radix, Radix Koko, sabun pembasuh Freesia dan penapis air Dew begitu menggalakkan hingga kadar pengeluaran terpaksa ditingkatkan,” katanya.

Menurutnya, kekuatan HPA ialah mempunyai panel syariah sendiri selain memperjuangkan produk halal dan suci (halalan toyyiban).

“HPA juga bergerak cergas dengan program ilmu untuk mengajar ahli supaya beralih kepada herba dan bahan harian bebas kimia iaitu organik sebagai persediaan mengelak malapetaka kesihatan,” katanya.

Beliau juga mengumumkan yang HPA membeli sebuah bangunan di Seksyen 13 Shah Alam setinggi 12 tingkat pada harga RM54 juta untuk dijadikan HPA International Center (HIC).