Friday, January 2, 2009

PJS ASERI KORBANKAN KERJAYA DEMI PERJUANGAN HPA

Menggapai impian untuk menjadi seorang juara dan usahawan M.L.M bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak liku hidup yang terpaksa dilalui dan ditempuhi. Ada onak dan duri yang perlu diharungi sebelum mampu mengecapi nikmat dan meniti mercu kejayaan.

Pelbagai pengorbanan terpaksa dilakukan. Namun setiap yang berjaya mengharungi laluan ini mempunyai cerita yang berbeza. Namun semuanya berjaya mencapai matlamat sama, iaitu kejayaan berganda.

Inilah yang berlaku kepada Pengarah Jati Setia (PJS) Mohd Aseri Hanapiah. Dalam usia muda mencecah 43 tahun, beliau sanggup meletakkan jawatan secara pilihan sebagai anggota polis semata-mata untuk memberi tumpuan dan perhatian sepenuh masa kepada perjuangan HPA. Satu pengorbanan penuh nekad yang diambilnya bagi memenuhi impian keluarga dan melaksanakan tanggungjawab dalam memenuhi tuntutan ummah.


Sahabat seperjuangan ketika pelancaran HPA International di Indonesia


Anak kelahiran Felda Lubuk Merbau, Kedah ini memulakan kerjaya sebagai anggota polis pada tahun 1984. Keperitan hidup sebagai anak kampung yang serba kekurangan dan kepayahan, memaksa beliau meninggalkan kampung halaman, mengorak langkah ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Jalan Gurney Kuala Lumpur. Kemiskinan dan desakan hidup dalam sebuah keluarga besar sebagai penoreh getah juga menyebabkan PJS Mohd Aseri meninggalkan alam persekolahannya terlebih awal walaupun pada ketika itu beliau antara pelajar cemerlang yang mencapai keputusan terbaik dalam SPM 1982.

Bersama satu-satunya isteri tercinta.

Setelah tamat latihan, beliau memulakan kerjaya sebagai anggota polis pada tahun 1984 di Balai Polis Balik Pulau Pulau Pinang. Beliau mula mengenali HPA sekita tahun 1997 apabila Haji Ismail Wan Teh (sekarang Pengarah Urusan Azi SmartLife) memperkenalkan HPA di masjid berdekatan dengan rumahnya. Minat dan kecenderungan belia kepada perjuangan ISLAM menjadikan PJS Mohd Aseri menganggotai HPA pada tahun tersebut.


Hari pertama bergelar polis di Balai Balik Pulau

Ketika itu macam-macam bentuk perniagaan MLM lahir dan membanjiri pasaran terutama di Pulau Pinang. Kerjayanya sebagai anggota polis yang tidak menentu dan penuh dengan cabaran kadangkala menduga dan menggugat keimanan dan prinsip perjuangannya. Beliau pernah terlibat dalam perniagaan skim cepat kaya yang mengetengahkan sistem saham. Namun semua itu ditinggalkannya kerana ia menyimpang jauh dari landasan Islam yang sebenar.

Kereta mewah BMW miliknya adalah hasil keringat dan titik peluh sejak 1997 bersama HPA


Pada peringkat awal, iaitu sekitar 8 tahun yang pertama, PJS Mohd Aseri tidak menampakkan sebarang kejayaan bersama HPA. Beliau sekadar menjadi pengguna dan dalam masa yang sama bergerak secara kecil-kecilan membina rangkaian di kalangan ahli keluarga, sahabat handai, rakan dan taulan bersama isteri tercinta, Aseniah Badri.


PJS Aseri bersama 'upline' yang dedikasi' PJS Ustaz Mohd Zahir

Namun, sedikit demi sedikit rangkaiannya terbina, bercambah dan lahir di Pulau Pinang dan sekitar Seberang Perai. Sekitar tahun 2005 barulah PJS Mohd Aseri betul-betul mengorak langkah dan memulakan kerjaya ini secara sungguh-sungguh sebagai usahawan MLM HPA. Beliau banyak menganjurkan 'home party' dan ceramah-ceramah penerangan HPA. Seluruh pelusuk Pulau Pinang diterokainya.

Apabila HPA memperkenalkan Program Perkongsian Bijan Cemerlang (PBC) pada Disember 2005, PJS Mohd Aseri adalah antara pemimpin yang meghantar paling ramai peserta. Beliau adalah pelopor yang menganjurkan PBC di Pulau Pinang dan mempunyai ramai pemimpin dalam rangkaiannya yang lahir hasil PBC.

Kini, beliau berbangga memperoleh pendapatan 5 angka, hampir RM30k sebulan bersama isterinya dan tersenarai dalam Top 10 HPA 2008. Alhamdulillah, semuanya adalah hasil kesabaran dan penat jerih serta pengorbanan besar yang dilakukannya.

Tanggal 01 Januari 2009, PJS Mohd Aseri bebas dari kerjaya beruniform sebagai anggota polis apabila beliau dengan rasminya meletakkan jawatan setelah 25 tahun berkhidmat untuk negara.
Kini beliau bebas dan berazam menjadikan 1430 Hijrah sebagai tahun cemerlang bersama HPA.

Tahniah PJS Mohd Aseri.


Ends...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Lensa eKPU