Saturday, January 24, 2009

MENETAPKAN SYARAT UNTUK BONUS HPA : ADAKAH SUATU PAKSAAN?

Soalan; Pada saya HPA dan lain2 MLM sama sahaja dari segi perniagaannya. Kesemua pelan pemasaran MLM mewajibkan pengedar untuk mencapai target tertentu untuk mendapat bonus-bonus tertentu. Tidakkah syarat2 ini merupakan paksaan yang dikenakan kepada pengedar untuk mendapat bonus? Contohnya anda perlu mempunyai kumpulan yang ada 1000 nilai mata untuk layak mendapat bonus tertentu.

2) Sumber manakah yang dirujuk dan adakah mereka pakar dalam MLM? Setakat ini belum ada Badan yang iktiraf yang boleh dirujuk untuk menentukan HALAL atau tidaknya sesuatu sistem pemasaran itu. Semuanya berdasarkan pandangan/pendapat peribadi ulama dan bukannya kesepakatan ulama. Apapun bidang MLM ini adalah satu bidang yang memerlukan ijtihad para ulama…

Jawapan :

Saya perhatikan ramai yang tidak dapat bezakan jenis-jenis akad di dalam Islam. Dalam muamalah Islam, bukan akad jual beli sahaja yang wujud, tetapi juga akad-akad yang lain, antaranya akad hibah, akad ijarah, akad ji’alah dan sebagainya. Berlainan akad berbeza pula ciri-cirinya. Contohnya, dalam akad jual-beli tidak harus ada sebarang ikatan/syarat dikenakan untuk meneruskan jual-beli.

Contoh, tidak harus seorang penjual meletakkan syarat kepada pembeli seperti ia berkata; “Saya jual barang saya ini dengan syarat awak mesti jual barang awak itu”. Syarat ini adalah tidak sah kerana ia menyebabkan terjadinya dua jualan dalam satu jualan yang dilarang oleh Nabi s.a.w..

Namun dalam pemberian atau komisyen, meletakkan syarat untuk mendapat suatu pemberian atau komisyen ia tidak pernah diharamkan oleh mana-mana ulamak. Contohnya, satu syarikat buku berkata kepada pelanggannya; jika kamu beli sebuah sahaja harganya RM20. Jika kamu beli 10 buah, saya beri diskaun 20%. Jika kamu jadi pengedar saya dan kamu dapat jual 50 buah ke atas, saya beri komisyen 25% dan jika 100 ke atas, saya beri komisyen 50%. Syarat yang dikenakan di sini bukan ke atas jual-beli, tetapi ke atas kelayakan untuk mendapat komisyen.

Jika syarat sebegini hendak dikatakan paksaan, maka hidup kita ini penuh dengan paksaan; untuk terima gaji kita disyaratkan berkerja (yakni terpaksa berkerja), untuk pandai kita disyaratkan belajar (yakni terpaksa belajar), untuk kenyang kita disyaratkan makan (yakni terpaksa makan), untuk dapat untung kita disyaratkan jual barang (yakni terpaksa menjual), untuk masuk syurga kita disyaratkan beribadah (yakni terpaksa beribadah)…begitulah hidup kita yang penuh dengan paksaan jika semua syarat kita fahami sebagai paksaan.

Tetapi itu adalah fahaman mengikut perasaan dan amarah kita. Adapun di sisi Syarak, paksaan atau al-Ikrah mempunyai pengertian khusus yang mempunyai rukun-rukun tertentu untuk dikatakan sesuatu itu sebagai paksaan yang membawa kepada terbatalnya akad. Setakat yang saya tahu, bukan semua syarat yang diletakkan ianya akan menjadi paksaan, malah tidak dapat dielakkan bagi sesetengah akad antaranya akad ji’alah (pemberian dengan bersyarat)

Sebagaimana yang ada di dalam al-Quran (surah Yusuf, ayat 72). Untuk memahami lebih lanjut, sila baca fatwa ulamak tentang “Hukum menetapkan syarat untuk mendapat komisyen jualan” di dalam blog ini. Wallahu a’lam.


Sumber : http://panelsyariah.blogspot.com/

Ends.......

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Lensa eKPU